Bekas warden penjara didakwa menyamar anggota polis
Abd Razak Mohd Ali
November 22, 2021 11:10 MYT
November 22, 2021 11:10 MYT
IPOH: Seorang bekas warden penjara didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atau tuduhan menyamar sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, minggu lepas.
Tertuduh, Zakwan Mahuri, 44 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Azreen Liyana Mohd Darus.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa berpura-pura memegang sesuatu jawatan yang tertentu, sebagai seorang anggota polis, sedangkan dia tahu dia tidak memegang jawatan itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pekarangan Pejabat Cawangan Khas IPK Perak kira-kira jam 9.50 pagi, 18 Nov lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 21 Dis hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.