Bekas TKM Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdullah meninggal dunia
Astro Awani
September 20, 2018 17:16 MYT
September 20, 2018 17:16 MYT
Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru, tengah hari tadi.
Allahyarham menghembus nafas terakhir selepas tiga hari menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Tambun Indah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Bakap selepas solat Asar.
Allahyarham yang berusia 70 tahun meninggalkan seorang isteri, Datin Seri Rabaayah Md. Naim dan tiga orang anak.
Abdul Rashid sebelum ini pernah berkhidmat dalam kerajaan sejak tahun 1970-an sebagai Penolong Setiausaha, Kementerian Penerangan Malaysia; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar serta Timbalan Ketua Pengarah Unit Penyelidikan Sosioekonomi Jabatan Perdana Menteri dari 1988 hingga 1989.
Beliau kemudiannya menceburi bidang politik pada 1993 dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap selepas menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2004 sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.
#Abdul Rashid Abdullah
#jangkitan paru-paru
#Ketua Menteri
#Malaysia
#meninggal dunia
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#politik
#PRU
#Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang