Bekas Timbalan Pendakwa Raya diburu, disyaki terlibat sindiket pengubahan wang haram

Astro Awani
Mac 25, 2021 11:59 MYT
AYOB KHAN: Suspek merupakan salah seorang yang memainkan peranan penting dalam sindiket yang melibatkan Datuk Seri Nicky. -BERNAMA
JOHOR BAHRU: Polis Johor sedang memburu seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya yang disyaki terbabit dalam sindiket berkaitan pengubahan wang haram serta jenayah komersial berkaitan Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata suspek dikenali sebagai Md Azar Izwan Mohd Arifin @ Datuk A Janus, 42, dengan alamat terakhir di sebuah apartmen di Puchong, Selangor.
"Suspek ini merupakan seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya dan sudah tamat perkhidmatan.
"Saya minta mana-mana individu atau keluarga yang tahu kedudukannya boleh berhubung dengan pegawai Inspektor Prakash.
“Suspek merupakan salah seorang yang memainkan peranan penting dalam sindiket yang melibatkan Datuk Seri Nicky," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Hari Polis ke- 214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Jelas Ayob Khan, suspek dicari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB, Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.
Katanya, setakat ini, 92 individu telah ditahan dalam beberapa siri serbuan di Puchong berhubung kes terbabit.
Daripada jumlah itu, 40 ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA), manakala bakinya dibebaskan selepas disiasat.
#Timbalan Pendakwa Raya #pengubahan wang haram #Akta Kesalahan Keselamatan #Nicky Liow Soon Hee #Inspektor Prakash #Md Azar Izwan Mohd Arifin #A Janus #polis johor
;