Bekas timbalan menteri pelajaran meninggal dunia
Astro Awani
Februari 3, 2014 13:46 MYT
Februari 3, 2014 13:46 MYT
Bekas timbalan menteri pelajaran bagi tahun 1984-1986 Datuk Haji Bujang bin Ulis meninggal dunia kira-kira pukul 1.30 pagi Isnin di kediaman beliau di 524, Kampung Semariang Jaya, Petra Jaya, pada usia 66 tahun.
Allahyarham yang juga bekas seorang pendidik pernah berkhidmat di beberapa sekolah di Sarawak di samping turut pernah menjadi pengetua di sebuah sekolah di Kuching sebelum dilantik menjadi timbalan menteri perusahaan utama penggal 1980 hingga 1983.
Allahyarham Bujang yang turut dikenali sebagai Bujang Hadziri Ulis difahamkan tidak menghidap sebarang penyakit dan rebah di depan ahli keluarganya di kediaman mereka selepas menonton televisyen.
Allahyarham meninggalkan isteri Maimunah binti Sebli, 58 tahun dan tujuh orang anak (tidak termasuk dua yang telah meinggal dunia) yang kesemuanya perempuan dan tiga cucu.
Selain melibatkan diri dalam bidang pendidikan, Allahyarham juga aktif dalam bidang politik dimana pernah menjadi Ahli Parlimen Batang Sadong dan pernah bertanding namun tewas kepada Datuk Naroden Majais bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Simunjan.
Jenazah Bujang dikebumikan selepas solat Zohor hari ini.
Turut hadir menziarah jenazah ialah Datuk Paduka Ah Mordiah Tuanku Fauzi, Datuk Abdul Karim Hamzah, Datuk Naroden Majais, Datuk Putit Matzen, YB Sh Hasidah Syed Aman Ghazali, Datuk Talip Zulpilip serta rakan-rakan seperjuangan dalam bidang pendidikan.