Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan meninggal dunia

Bernama
Ogos 22, 2022 18:23 MYT
Datuk Abdul Halim Abdul Rahman meninggal dunia pada 3.40 petang ini di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan. Allahyaram menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun akibat jangkitan paru-paru.
KOTA BHARU: Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman meninggal dunia pada 3.40 petang di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.
Anak kedua Allahyarham, Ahlaami Abdul Halim memberitahu Bernama, bapanya yang berusia 82 tahun itu meninggal dunia disebabkan jangkitan paru-paru.
"Insya-Allah, arwah bapa saya akan disolatkan di Masjid Saadatul Ikhwan pada malam ini sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol selepas solat Isyak," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, Abdul Halim dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan bermula 1990 sehingga 2004.
Katanya, Allahyarham merupakan tokoh yang sangat berjasa kepada negeri Kelantan dan menjadi antara individu penting yang mempelopori pentadbiran kerajaan negeri di bawah Dasar Membangun Bersama Islam.
"Allahyarham juga sebelum ini berkhidmat sebagai wakil rakyat bermula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggol bagi tahun 1986 sehingga 1995.
"(Allahyarham) turut menjadi ADUN Kijang pada tahun 1995 sehingga 2004 selain memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Pengkalan Chepa bagi tempoh 2004 hingga 2013, sekali gus merupakan mantan bendahari Pas Pusat," katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Ahmad bagi pihak kerajaan negeri turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.
"Semoga Allah SWT mengampunkan dan merahmati serta mengangkat darjatnya di kalangan orang-orang yang beramal soleh," katanya. - BERNAMA
#Timbalan Menteri Besar Kelantan #meninggal dunia #Abdul Halim Abdul Rahman #jangkitan paru-paru
;