Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Simon Dembab Maja meninggal dunia
Astro Awani
Januari 23, 2022 17:59 MYT
Januari 23, 2022 17:59 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Simon Dembab Maja, meninggal dunia pada usia 85 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching pada Sabtu.
Mendiang yang juga antara pengasas bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meninggalkan balu Datin Rosalind Siti Jemeni, tiga anak, tiga cucu serta dua cicit.
Memetik laporan Borneo Post, anaknya, Jimmy Maja, berkata mendiang bapanya berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri di bawah kepimpinan kerajaan campuran pada tahun 1970.
‘’Kerajaan campuran yang mempimpin ketika itu melibatkan Parti Bumiputera, Parti Pesaka dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). Ini merupakan kerajaan pertama di Sarawak yang dipilih menerusi pilihanraya.
‘’Mendiang dari Parti Pesaka ketika bertanding buat kali pertama dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 1970 dan kemudian Parti Pesaka dan Parti Bumiputera bergabung dan dikenali sebagi PBB hari ini dan mendiang merupakan antara pengasas bersama parti itu,’’ katanya.
Mendiang yang berasal dari Engkilili menerima Pendidikan awal di Sekolah Chung Hua di Kuching pada 1950-an dan kemudian melanjutkan pengajian di Sekolah St. Thomas juga di Kuching.
Upacara penghormatan terakhir akan dijalankan di kediaman mendiang di Tabuan Jaya sehingga 24 Januari 2022 sebelum disemadikan di Engkilili.
#Simon Dembab Maja
#Timbalan Ketua Menteri Sarawak
#Parti Pesaka Bumiputera Sarawak
#pemimpin Sarawak