Bekas tentera diberkas serang anggota di kem

Bernama
Februari 11, 2017 12:58 MYT
Suspek datang ke kem itu menaiki motosikal dengan memakai topi keledar dan menutup mukanya menggunakan kain berwarna hitam. - Gambar hiasan
Seorang bekas tentera diberkas selepas cuba merampas senapang daripada seorang anggota tentera yang bertugas di pintu masuk kem tentera Seberang Takir di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 1.55 tengah hari itu, suspek datang ke kem tersebut menaiki motosikal dengan memakai topi keledar dan menutup mukanya menggunakan kain berwarna hitam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata suspek berusia 41 tahun itu kemudian meninggalkan motosikalnya di luar pagar pos pengawal dan meluru kepada anggota tersebut sambil menyatakan mahu berjumpa penolong pegawai pemerintah kem berkenaan.
"Namun suspek bertindak liar dan agresif dengan mengacu pisau sepanjang sembilan inci ke leher anggota berkenaan menyebabkan berlaku pergelutan sehingga mangsa cedera di belakang leher terkena tikaman pisau berkenaan.
"Suspek turut cuba menarik senjata anggota berkenaan, namun seorang anggota lain yang menyedari kejadian kemudian bertindak meleraikan pergelutan dan mendapatkan bantuan," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Wan Abd Aziz berkata suspek yang berasal dari Kampung Pak Kancil, Setiu, kemudian ditahan oleh rakan setugas mangsa sebelum diserahkan kepada polis.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek adalah bekas tentera dan telah dikenakan tindakan buang kerja pada 2007 kerana masalah mental.
"Mangsa yang berusia 29 tahun dan berasal dari Kuala Kangsar, Perak, kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, dan menerima tiga jahitan di bawah telinga," katanya.
Menurut Wan Abd Aziz, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis sedang mengenal pasti motif utama suspek bertindak sedemikian.
"Hasil semakan rekod dan ujian air kencing yang dijalankan menunjukkan suspek bebas daripada pengaruh dadah serta kesalahan jenayah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata," katanya.
-- BERNAMA
#kem tentera #Seberang Takir #tentera
;