Bekas tentera bunuh isteri, sebelum tikam diri sendiri
Shuhada Abdul Kadir
Julai 3, 2019 16:08 MYT
Julai 3, 2019 16:08 MYT
Seorang wanita maut dipercayai ditikam suaminya dalam kejadian di Taman Seri Duyong, Fasa Dua, Melaka pagi tadi.
Mangsa Samnah Mohamed, 55 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terkena empat tikaman oleh suaminya dengan menggunakan pisau pemotong sayur.
Dalam kejadian sekitar 9.30 pagi tadi itu, suspek yang juga bekas tentera turut mengalami kecederaan di bahagian perut selepas bertindak menikam dirinya sendiri.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan antara pasangan suami isteri tersebut sebelum lelaki berusia 56 tahun itu bertindak menikam mangsa.
Pergaduhan yang bermula di bahagian dapur rumah itu berlarutan sehingga ke garaj sebelum kejadian itu disedari anak lelaki mangsa berusia 25 tahun yang baru selesai mandi.
Ujar Afzanizar, wanita itu ditemui dengan empat kesan tikaman iaitu dua di bahagian hadapan dan dua di bahagian belakang dalam keadaan terlentang bersebelahan suaminya.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kami dapati kejadian berlaku di rumah teres satu tingkat tiga bilik. Punca kejadian berlaku ekoran pergaduhan antara si suami pada lebih kurang jam 9.30 pagi.
“Pergaduhan itu membawa kepada perbuatan membunuh si isteri. Si suami juga telah menikam diri sendiri, ada dua kesan tikaman pada suspek lelaki,” ujar Afzanizar.
Sementara itu, seorang jiran yang tinggal bersebelahan rumah mangsa berkata, dia terdengar bunyi jeritan meminta tolong dari kediaman pasangan itu.
Mohd Nor Syazwan Norahim, 19 tahun, sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya sebelum tiba-tiba terdengar suara wanita berkali-kali menjerit meminta tolong.
Dia yang bergegas keluar rumah mendapati mangsa sudah terlentang di dalam garaj kereta dengan keadaan pintu pagar terbuka luas, dipercayai mangsa cuba melarikan diri.
Mengulas lanjut, menurut Afzanizar, suspek yang mengalami kecederaan parah pada bahagian perut kini menerima rawatan di zon merah Hospital Melaka dan pihak polis merampas sebilah pisau berukuran 23 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Jelasnya, suspek juga mempunyai kad perubatan rawatan psikiatri, bagaimanapun pihaknya masih meneliti bila rawatan terakhir diterima oleh suspek.
Selain itu, suspek juga mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa juga dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.