Bekas setiausaha politik Mat Sabu didakwa minta dan terima rasuah
Astro Awani
Oktober 15, 2020 12:56 MYT
Oktober 15, 2020 12:56 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas lima tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM6.3 juta.
Mohd Azhar Che Mat Dali, 49, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Awi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Azhar didakwa meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan syarikat FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin.
Ia sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih sebagai menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaran bagi peralatan perisikan.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Hotel Le Apple Boutique, Jalan Ampang, Kampung Baru, pada 22 Julai 2019.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Pertahanan di Jalan Bellamy dan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya antara September 2019 dan Februari 2020 dan didakwa mengikut seksyen sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin selain perlu melaporkan diri bermula November ini di pejabat SPRM pada setiap bulan serta pasport diserahkan sehingga kes selesai.
#Mohamad Sabu
#Mat Sabu
#Mohd Azhar Che Mat Dali
#SPRM
#Rasuah
#mahkamah
#politik
#Mahkamah Sesyen
#setiausaha politik
#bekas Menteri Pertahanan
#bekas setiausaha politik