Bekas ratu cantik terima gangguan seksual ratusan lelaki Bangladesh

Sinar Harian
Mei 30, 2023 17:01 MYT
Guan Yoke (kanan) Joan Ng menunjukkan dua salinan laporan polis berkenaan menerima gangguan seksual di Ibu Pejabat MCA Johor, Johor Bahru pada Selasa. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal mendakwa berdepan gangguan seksual daripada lebih 200 lelaki warga Bangladesh selepas namanya diburuk-burukkan dan dijadikan bahan gurauan oleh seorang kenalan dalam media sosial, baru-baru ini.
Lee Guan Yoke, 41, yang pernah menang 10 pertandingan ratu cantik mendakwa, mula menerima gangguan seksual tersebut sejak 17 Mei lalu selepas berkenalan dengan seorang lelaki tempatan.
Menurutnya yang bekerja sebagai seorang pemandu pelancong, dunianya seakan berubah apabila terjumpa satu rakaman video live Facebook dibuat lelaki berkenaan yang seolah-olah 'menjual dirinya' kepada sekumpulan lelaki Bangladesh.
"Secara tiba-tiba saya menerima ratusan mesej dan panggilan telefon. Gangguan ini turut diterima melalui pelbagai platform media sosial.
"Semuanya daripada lelaki Bangladesh dengan kata-kata lucah dan sindiran. Ayat-ayat yang digunakan berbaur lucah dan gangguan seksual," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA Johor di sini pada Selasa.
Gua Yoke berkata, keadaan tersebut membuatkan emosinya terganggu kerana menjejaskan nama baik dia dan juga keluarga malah sehingga pernah terfikir untuk membunuh diri.
"Ini juga mengganggu kerjaya dan kehidupan peribadi saya. Saya menjaga tiga anak kecil yang masih bersekolah," katanya.
Sehubungan itu, Guan Yoke telah membuat dua laporan polis berhubung gangguan tersebut, masing-masing satu laporan di Balai Polis Taman Universiti dan Balai Polis Ulu Tiram pada 18 dan 21 Mei lalu.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Biro Pengaduan Awam MCA Johor, Joan Ng Geok Yin memberitahu, pihaknya akan merujuk kes tersebut kepada agensi berkaitan agar dapat membela kesejahteraan mangsa.
"Kami sudah hubungi lelaki berkenaan, dia mengaku membuat rakaman live tersebut tetapi mendakwa ia hanya gurauan. Namun tindakannya itu telah mengganggu ketenteraman hidup mangsa yang juga merupakan seorang ibu tunggal.
"Jadi, kami berharap pihak berkuasa dapat bertindak dan memberi pembelaan terhadap mangsa kerana pada waktu ini rakaman video lelaki tersebut masih boleh ditonton di media sosial," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan. -- Sinar Harian
#bekas ratu cantik #gangguan seksual #warga Bangladesh #media sosial
;