Bekas rakan Siti Bainun menangis bila jumpa Bella - Saksi
Bernama
Mac 8, 2023 21:13 MYT
Mac 8, 2023 21:13 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang jiran kepada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa seorang bekas rakan tertuduh beria-ia menangis apabila melihat remaja Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.
Nor Aidil Farhab Johaizad, 26, berkata beliau juga berasa pelik apabila Zurianty Sudin menangis sambil memegang telefon bimbit dan merakam gambar semasa wanita itu berada di luar pintu sebuah unit kondominium yang didiami Siti Bainun pada 24 Jun 2021.
"Saya dengan Kak Zu (Zurianty) pergi ke kondominium menaiki kereta selepas Kak Zu sendiri memaklumkan Siti Bainun memberi kebenaran untuk ke rumah itu.
Sebelum ke kondominium itu Zurianty ada membeli keropok, roti dan minuman untuk penghuni rumah itu," katanya dan memaklumkan dia mempunyai kad akses rumah Siti Bainun kerana dia ditugaskan untuk menghantar anak Siti Bainun di sekolah.
Saksi pembelaan keempat berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf pada prosiding bela diri Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun itu.
"Dia menangis beria-ia di depan pintu apabila melihat Bella. Tidak sampai 10 minit, Zurianty beri makanan pada anak-anak jagaan Siti Bainun yang dia belinya dan menyuruh saya balik dahulu, Zurianty beritahu mahu bawa Bella pergi hospital," katanya.
Saksi itu berkata dia sering membantu Siti Bainun menghantar barang ke kondominium berkenaan serta mengambil dan menghantar seorang anak jagaan wanita itu yang dikenali sebagai Mariam ke sekolah.
Terdahulu, saksi pembelaan ketiga Noor Marliana Ramlee, 28, berkata dia tidak pernah melihat Bella diberi makan cili, disiram air panas dan matanya ditonyoh cili oleh Siti Bainun kerana kejadian seperti itu tidak berlaku.
Noor Marliana yang juga bekas penghuni rumah kebajikan itu turut menafikan keterangannya di mahkamah adalah semata-mata untuk menyelamatkan Siti Bainun, namun saksi itu mengakui dia mempunyai hubungan rapat dengan tertuduh.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.
-- BERNAMA