Bekas presiden UMANY dihadapkan ke mahkamah
Astro Awani
November 13, 2020 16:39 MYT
November 13, 2020 16:39 MYT
PETALING JAYA: Bekas presiden Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengingkari arahan polis ketika serbuan di sebuah rumah, Sabtu lepas.
Wong Yan Ke, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengingkari arahan Asisten Superintendan Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan 17/48, di sini, pada 7 November lalu.
Graduan Universiti Malaya (UM) itu didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sebulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Atifah Hazimah Wahab menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh selepas mengambil kira kes itu melibatkan kepentingan awam dan telah tular di laman sosial.
Sementara itu, Bernama melaporkan peguam tertuduh, Rajsurian Pillai bagaimanapun memohon supaya anak guamnya dikenakan bon tanpa cagaran memandangkan hukuman yang diperuntukan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan adalah rendah.
“Beliau kini bekerja di sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan berpendapatan RM2,600 sebulan.
“Selain itu, ketika ditahan tertuduh memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa. Dia tidak akan melarikan diri dan mengganggu mangsa. Jika mahkamah menolak cadangan bon ini, mohon mahkamah mengenakan jaminan yang minimum,” katanya
Mahkamah membenarkan Wong diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Februari untuk sebutan semula kes.
Sabtu lepas, media melaporkan seorang lelaki ditahan ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya berhubung siasatan kes Akta Hasutan melibatkan Persatuan UMANY.
#UMANY
#Bekas Presiden
#Wong Yan Ke
#majistret
#Nurshahirah Abdul Salim
#ingkar arahan polis
#UM
#timbalan pendakra raya
#peguam
#Ahli Parlimen Klang
#Charles Santiago