Bekas Presiden MTBC P S Nathan meninggal dunia
Bernama
September 23, 2024 10:30 MYT
September 23, 2024 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Datuk Dr P S Nathan meninggal dunia pada usia 90 tahun, petang semalam.
Berita duka itu diumumkan MTBC yang menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar buat seluruh komuniti boling.
"Beliau seorang pemimpin, mentor dan pembimbing yang hebat dalam komuniti boling. Kepimpinan berwawasan beliau bukan sahaja mengangkat boling Malaysia ke tahap bertaraf dunia malah memberikan inspirasi kepada ramai individu yang berpeluang menimba ilmu daripadanya.
"Sumbangan beliau kepada sukan itu, di arena tempatan dan global, tidak ternilai," menurut kenyataan itu.
Nathan mengasaskan MTBC pada 1974 dan sejak itu menerajui badan induk tersebut sebelum meletakkan jawatan Mei lepas.
Mendiang meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
-- BERNAMA