Bekas Presiden Institut Integriti Malaysia meninggal dunia

Nickyson Nyambar
November 30, 2021 19:43 MYT
Allahyarham Bekas Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh meninggal dunia pada usia 72 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada petang Selasa, maklum anaknya, Mohamad Azrieff ketika dihubungi Astro AWANI. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Bekas Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, 72 tahun meninggal dunia pada petang Selasa di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Perkara itu dimaklumkan oleh anak Allahyarham, Mohamad Azrieff Mohd Tap menerusi perkongsian WhatsApp hari ini.
"Salam, dengan hati yang sedih, saya ingin maklumkan bahawa ayah saya, Md Tap Bin Salleh telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada waktu 5.15 pm.
"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh dan beriman.
"Insya-Allah, jenazah akan dibawa pulang ke rumah dahulu dan seterusnya dimandikan dan disolatkan di Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya," katanya.
Tambah Azrieff, ayahnya telah dimasukkan ke hospital sejak tiga minggu yang lalu.
"Pada awalnya, di Pusat Medikal Subang Jaya (SJMC) dan seterusnya di HKL.
"Doktor belum dapat mengenal pasti punca kematian, bagaimanapun bukan kerana COVID-19," maklumnya kepada Astro AWANI.
Difahamkan Allahyarham sebelum ini memegang jawatan sebagai Presiden Institut Integriti Malaysia selama tujuh tahun sebelum bersara pada 30 November 2015.
Allahyarham juga sebelum ini juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan adalah merupakan salah seorang anggota dalam Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan.
#Bekas Presiden Institut Integriti Malaysia #Datuk Dr Mohd Tap Salleh #meninggal dunia #HKL #Mohamad Azrieff Mohd Tap
;