Bekas Presiden ABIM Siddiq Fadzil meninggal dunia

Astro Awani
Ogos 31, 2021 22:57 MYT
Allahyarham Siddiq, 74, yang juga Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi 2018 menghembuskan nafas terakhir pada 6.32 petang akibat jangkitan paru-paru. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Datuk Dr Siddiq Fadzil, meninggal dunia di Hospital Pakar An-nur, Bangi, Selangor petang tadi.
Presiden ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz ketika dihubungi berkata Allahyarham Siddiq, 74, yang juga Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi 2018 menghembuskan nafas terakhir pada 6.32 petang akibat jangkitan paru-paru, lapor Bernama.
Dalam pada itu, ABIM dalam kenyataan di laman Facebook rasmi yang mewakili keluarga Allahyarham Siddiq berkata jenazah Allahyarham masih berada di hospital.
Selain itu, beberapa pemimpin menerusi laman sosial media masing-masing turut menzahirkan ucapan takziah termasuk Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.
Selain itu, tokoh veteran DAP Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, turut menyampaikan ucapan takziah.
"Ucapan takziah atas pemergian Datuk Dr Siddiq Fadzil. Pemikir Islam yang hebat sudah tiada lagi," katanya dalam laman Twitter malam ini.
Allahyarham Siddiq pernah dilantik sebagai Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia dan Pengerusi Institut Darul Ehsan.
Siddiq meninggalkan seorang isteri Datin Dr Siti Zulaikha Mohd Nor dan tujuh anak.
#Bekas Presiden ABIM #Dr Siddiq Fadzil #meninggal dunia #Tokoh Maal Hijrah
;