Bekas polis sebak kenang tragedi dalam serangan hendap Komunis

Bernama
Mac 20, 2023 07:15 MYT
SAC Abd Khalid Othman (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Exco Pusat Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM Muhammad Noh Mansor pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 Kontinjen Negeri Sembilan. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Rasa sebak dan sedih tidak dapat disembunyikan setiap kali saya terkenangkan peristiwa kira-kira setengah abad yang lepas apabila ketua platun saya maut ditembak tepat di kepala dalam serangan hendap pengganas komunis, luah seorang bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH), Mohammad Noh Mansor, 73.
Mengimbau detik cemas itu, Mohammad Noh Mansor yang berusia 19 tahun ketika itu terpaku melihat ketua platun dikenali sebagai 'Sarjan Lee' berada tidak jauh darinya, mati ditembak semasa semua anggota platun itu sedang berehat seketika selepas meronda di Sibu pada awal 1970an.
"Satu peristiwa yang tidak pernah saya lupakan, ketika sedang membuat rondaan, ketua platun ditembak komunis tepat di kepala dan dia rebah di depan mata saya sendiri.
"Ketika itu Sarjan platun mahu berehat sebentar di kawasan yang selamat, tetapi tidak sangka diserang, peristiwa itu sungguh menyayat hati, berlaku di depan mata saya," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216 Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan yang disertai kira-kira 400 anggota, yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis negeri SAC Abd Khalid Othman.
Mohammad Noh menerima sijil penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pesara yang telah berkhidmat 36 tahun sebagai anggota polis.
Selain itu, setiap kali menjelang Aidilfitri, bapa kepada dua anak itu juga turut mengenang peristiwa diserang hendap komunis sehari sebelum sam-butan Aidilfitri di Jakar, Sarikei pada tahun 1972.
Katanya dalam kejadian itu beliau bersama 29 anggota platunnya baru menyelesaikan tugas di Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom) selama dua bulan mengawal sebuah pangkalan pasukan keselamatan.
"Ketika itu petang terakhir Ramadan, anggota sedang membuat rondaan, apabila pasukan diserang hendap ketika dalam perjalanan, mujur peristiwa yang kedua ini tidak mengorbankan anggota platun. Kita membalas serangan hendap itu secara emergency," katanya yang telah bersara sejak 2005.
Meskipun kini sudah berusia 73 tahun, Mohamad Noh masih aktif sebagai Exco Pusat Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM bagi membantu bekas-bekas polis yang memerlukan.
Katanya persatuan itu menjaga kebajikan kira-kira 4,000 pesara polis termasuk ahli di Sabah dan Sarawak yang memerlukan bantuan seperti kesihatan dan lain-lain.
-- BERNAMA
#pengganas #pesara polis #komunis #pasukan polis hutan
;