Bekas polis 110 tahun bersemangat dapatkan suntikan vaksin COVID-19

Mohd Zalani Md Atan
Jun 16, 2021 18:07 MYT
Bagi Arifin, suntikan vaksin itu amat penting untuk melindungi diri daripada penyakit serta simptom COVID-19. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LIPIS: Usianya yang sudah mencecah 110 tahun tidak menghalang seorang bekas anggota polis hadir bagi mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Arifin Deris yang pernah bertugas ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu, berkata dia mempunyai kesedaran mengenai kepentingan vaksin dan mendaftar dengan sukarela.
Bagi Arifin, suntikan vaksin itu amat penting untuk melindungi diri daripada penyakit serta simptom COVID-19.
Malah Arifin turut meminta orang lain, terutama warga emas supaya tidak takut mendapatkan suntikan vaksin hanya disebabkan khabar angin disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya seronok sebenarnya... sebab sudah dapat vaksin. Baik untuk tubuh... Jadi sudah tidak perlu risau dengan penyakit ini (COVID-19).
"Bolehlah jaga tubuh badan kita, kesihatan kita. Tak payah takutlah... marilah beramai-ramai ke tempat ini (dapatkan suntikan vaksin)," katanya sambil tersenyum di sini, hari ini.
Berdasarkan rekod rasmi, Arifin yang memiliki 13 orang anak dan 40 orang cucu berusia 99 tahun, namun menurutnya usia sebenar adalah 110 tahun kerana pendaftaran kelahirannya dibuat lewat 11 tahun.
Arifin yang berasal dari Machang, Kelantan dan kini menetap di Kampung Kerambit yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Lipis, masih mempunyai daya ingatan yang baik.
Katanya, beliau menyertai unit Home Guard di Rantau Panjang, Kelantan pada tahun 1941 sebelum menyertai pasukan polis selepas darurat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Kerambit, Mohamad Najid memaklumkan pihaknya mengedarkan borang pendaftaran vaksin secara manual kepada penduduk kampung berkenaan sejak awal bulan lalu.
"Kaedah ini lebih mudah untuk mengenal pasti penduduk yang mendaftar dan memudahkan proses pendaftaran mereka," katanya.
Najib memaklumkan ketika ini, kira-kira 80 peratus penduduk kampung itu sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
#vaksin #bekas polis #110 tahun #Kuala Lipis #kepentingan vaksin #warga emas #arifin deris #kampung kerambit #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
;