Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah imbau misi menyamar sebagai pegawai rendah dalam rundingan Lahad Datu

Irfan Faruqi
Ogos 23, 2024 10:45 MYT
Filem Takluk : Lahad Datu bukan sahaja mengangkat kisah benar yang menyentuh hati, tetapi juga memperingati keberanian para wira yang mempertahankan tanah air. - Gambar Astro
KUALA LUMPUR: Mengimbau kembali detik hitam pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013, Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, tindakan beliau masuk ke ‘zon perang’ untuk menyertai rundingan bersama ketua penceroboh sebagai suatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ringkasan AI
  • Keberanian dan Pengorbanan: Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun, menyertai rundingan dengan ketua penceroboh walaupun tindakan ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan kurang dipersetujui oleh kepimpinan PDRM.
  • Strategi dan Penyamaran: Abdul Rashid menyamar sebagai Sarjan Mejar untuk mengenal pasti jumlah penceroboh, berjaya mengira 79 orang dengan mengedarkan rokok.
  • Impak dan Penghormatan: Krisis ini mengorbankan 10 wira negara dan mengakibatkan 416 individu ditahan. Filem -Takluk: Lahad Datu- memperingati keberanian para wira yang mempertahankan tanah air.

Meskipun tindakan itu pada awalnya kurang dipersetujui oleh kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun, misi tersebut disifatkan sebagai sangat berjaya apabila pihak berkuasa berjaya mengenalpasti jumlah penceroboh yang ada.
"KPN tidak selesa untuk benarkan saya masuk kerana tidak pernah berlaku pegawai tertinggi (ikut masuk dalam zon operasi). Ketika itu saya Senior Asisten Komisoner (SAC) yang mengetuai operasi pasukan elit. Maka, mana mungkin dibenarkan masuk kerana dibimbangi menjadi tebusan.
“Perbincangan selanjutnya menetapkan, saya boleh masuk dengan syarat saya dikenali bukan sebagai Datuk Abdul Rashid yang mengetuai operasi pasukan elit ini, sebaliknya dikenali sebagai Sarjan Mejar Rashid yang peranannya tidak boleh berbincang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah imbau misi menyamar sebagai pegawai rendah dalam rundingan Lahad Datu
Ujarnya, sepanjang misi tersebut ramai dalam kalangan anggota yang kekok memberikan arahan kepadanya susulan penyamaran tersebut.
Abdul Rashid turut memuji kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua anggota dan pegawai terlibat memenuhi peranan masing-masing demi memenuhi objektif misi.
Memandangkan beliau tidak boleh terlibat dalam sesi rundingan, Abdul Rashid berkata, tumpuannya adalah untuk mengenal pasti jumlah penceroboh yang ada.
"Semasa bersalaman dengan Agbimuddin Kiram, saya pula ketika itu berperanan sebagai Sarjan Mejar sahaja, tidak boleh duduk di atas. Saya mainkan peranan saya mengira jumlah pengganas.
“Saya juga edarkan rokok dari poket kanan untuk mengenal pasti jumlah mereka. Daripada itu saya tahu dengan sangat yakin bahawa ada 79 orang.
“Perkara ini bukan main-main atau boleh agak-agak. Saya tidak boleh buat begitu, mana mungkin saya berikan maklumat tidak tepat kepada anak buah,” tambahnya.
Pada 11 Februari 2013, 235 pengganas Filipina yang sebahagiannya bersenjata mendarat di Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah, yang berakhir dengan 56 pengganas dibunuh dan enam orang awam maut.
Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.
Ekoran peristiwa berdarah itu, seramai 416 individu ditahan termasuk 110 orang disiasat di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Krisis Pencerobohan Lahad Datu 2013 telah memberikan impak yang sangat besar buat
negara, yang mana seramai 10 orang wira telah terkorban.
Filem Takluk : Lahad Datu bukan sahaja mengangkat kisah benar yang menyentuh hati, tetapi juga memperingati keberanian para wira yang mempertahankan tanah air.
TAKLUK:LAHAD DATU - DIINSPIRASIKAN DARIPADA KISAH BENAR ditayangkan di pawagam sekarang.
[LANGSUNG] Agenda AWANI: 11 Tahun Selepas Lahad Datu
#Sabah #Polis Diraja Malaysia #Lahad Datu #takluk
;