Bekas peserta AF mengaku tidak bersalah dera anak tiri

Astro Awani
April 14, 2017 13:54 MYT
Mohammad Azri didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang kini berumur 10 tahun dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas. - Gambar hiasan
Bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim ke-9, Mohammad Azri Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan mendera anak perempuan tirinya dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas, tahun lalu.
Mohammad Azri, 30, yang juga suami kepada bekas juara program Mentor musim kelima, Salma Andi-Asis, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar.
Tertuduh yang memakai baju berwarna biru itu dilihat tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Azri didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang kini berumur 10 tahun dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas di sebuah pangsapuri di Seksyen 9, Subang Jaya, di sini, jam 8 pagi, pada 5 Mei 2016.
Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan semula kes.
#Akademi Fantasia #dera #mahkamah #Mohammad Azri Abdullah
;