Bekas pesakit COVID-19 dijemput sertai penyelidikan perubatan - KP Kesihatan

Bernama
Oktober 14, 2020 03:03 MYT
Kajian ini penting bagi mengetahui paras imuniti dalam darah yang boleh menghalang kuman COVID-19 daripada menjangkiti pesakit. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini yang pernah dijangkiti virus COVID-19 dijemput menyertai penyelidikan perubatan bertajuk: Kajian Membujur tindak balas antibodi neutralisasi dalam kalangan pesakit COVID-19 di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kajian itu dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan (KKM).
"Kajian ini penting bagi mengetahui paras antibodi neutralisasi (imuniti) dalam darah yang boleh menghalang kuman COVID-19 daripada menjangkiti pesakit yang pernah dijangkiti sebelum ini.
"Penyelidikan ini telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC) KKM (NMRR-20-1676-55108)," katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata keterangan lanjut mengenai perkara itu, boleh menghubungi Dr Rafiza Shaharudin (rafiza.s@moh.gov.my) atau telefon: 03-33627753 dan Dr Masita Arip (masita.a@moh.gov.my ) atau telefon: 03-33627735.
-- BERNAMA
#Bekas pesakit #COVID-19 #Kajian #Noor Hisham Abdullah #penyelidikan #perubatan #antibodi #tindak balas #neutralisasi #imuniti #Kuman #darah #IMR #KKM #Institut Penyelidikan Perubatan