Bekas penyanyi nasyid mungkin beli benih ganja secara 'online' - Polis
Astro Awani
Mac 26, 2022 17:33 MYT
Mac 26, 2022 17:33 MYT
KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan bekas penyanyi nasyid dan komposer terkenal yang ditahan kerana menanam pokok ganja dalam rumah sebelum ini, mendapatkan bekalan benih secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber bekalan suspek berusia 47 tahun itu.
"Polis masih lagi menjalankan siasatan termasuk kemungkinan suspek membeli bekalan itu secara dalam talian," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut Mohamad Fakhrudin memberitahu, pihaknya masih dalam proses melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Sebelum ini, polis mendedahkan siasatan mendapati, suspek dipercayai menanam pokok ganja di dalam unit kondominium didiaminya untuk kegunaan sendiri, sejak dua bulan lalu.
Ketika serbuan di kondominium di Damansara di sini, pada Khamis, polis turut merampas 17 pasu pokok ganja selain ketulan mampat ganja seberat 214 gram dianggarkan bernilai RM10,700.
Berdasarkan siasatan awal, suspek sudah lebih 10 tahun menjadi penagih aktif.
Suspek juga dipercayai menggunakan media sosial bagi mempelajari selok-belok memproses dadah tersebut.