Bekas pensyarah universiti didakwa sokong, miliki bahan berkaitan IS

Astro Awani
Julai 21, 2024 04:35 MYT
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes terbabit di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
JOHOR BAHRU: Seorang bekas pensyarah sebuah universiti awam didakwa atas empat pertuduhan memiliki bahan bacaan, menghasut dan memberi kemudahan menyokong perbuatan kumpulan pengganas Islamic State (IS), antara September 2023 hingga Jun lalu.
Tertuduh, Abdullah Daud, 70, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes terbabit di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, Abdullah didakwa memiliki bahan berkaitan IS iaitu dua buku fizikal, dua buku digital dan dua video, selain menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan berkaitan kumpulan pengganas IS.
Dia juga didakwa membenarkan perjumpaan diadakan di rumahnya untuk menyokong aktiviti keganasan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Takwa, Kampung Melayu Kangkar Pulai, Johor Bahru antara 3 September 2023 hingga 28 Jun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130g(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun beserta denda; Seksyen 130jb(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan dilucutkan bahan dimiliki itu, serta Seksyen 130h(a) Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak lebih 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang kontraktor, Mohamad Awang, 48, didakwa memiliki bahan berkaitan IS dalam telefon bimbit dan komputer ribanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Nipah 8, Taman Daya Johor Bahru antara 7.05 pagi 23 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rullizah Abdul Majid dan Lina Hanani Ismail, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes.
#pertubuhan pengganas #bekas pensyarah #Malaysia #IS