Bekas pensyarah rugi RM170,000 akibat sindiket pelaburan pokok kenaf

Bernama
Oktober 4, 2024 22:31 MYT
Mushaddat berkata lelaki berusia 60 tahun itu dilaporkan bertemu seorang lelaki yang mendakwa sebagai wakil sebuah syarikat penanaman kenaf pada Jun 2022. - Gambar hiasan/Astro AWANI
BATU PAHAT: Bekas pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi (IPTA) kerugian RM170,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan penanaman pokok kenaf.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Mushaddat Abdullah Sani berkata lelaki berusia 60 tahun itu dilaporkan bertemu seorang lelaki yang mendakwa sebagai wakil sebuah syarikat penanaman kenaf pada Jun 2022.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu, individu terbabit menawarkan mangsa mengenai pelaburan penanaman pokok kenaf serta dijanjikan dividen sebanyak tiga peratus setiap tahun.
"Mangsa telah menandatangani beberapa dokumen perjanjian dan pada tarikh sama membuat pemindahan wang ke dalam satu akaun bank syarikat secara berperingkat berjumlah RM200,000.
"Daripada jumlah pelaburan itu, mangsa menerima dividen sebanyak RM30,000 namun sejak Januari tahun lepas, lelaki itu tidak lagi menerima pulangan yang dijanjikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat semalam.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA
#pelaburan #sindiket #ipta #pokok kenaf
;