Bekas pensyarah antara lapan ditahan disyaki terlibat Daesh
Bernama
Jun 24, 2024 17:45 MYT
Jun 24, 2024 17:45 MYT
PUTRAJAYA: Seorang bekas pensyarah antara lapan individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki terlibat kegiatan ekstremisme dan elemen radikalisme Daesh, dalam operasi serentak di empat negeri pada 22 dan 23 Jun.
Ringkasan AI
- Lapan individu, termasuk seorang bekas pensyarah, ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan ekstremisme dan elemen radikalisme Daesh di Kelantan, Johor, Pulau Pinang, dan Selangor pada 22 dan 23 Jun.
- Siasatan awal PDRM mendapati bahawa terdapat ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan, dan pimpinan tertinggi PDRM oleh kesemua suspek yang ditahan.
- Kerajaan Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam ekstremisme, radikalisme, dan keganasan, dengan pihak berkuasa akan mengambil tindakan penguatkuasaan berat untuk mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata enam lelaki dan dua wanita tempatan berusia 25 hingga 70 tahun itu, ditahan di Kelantan, Johor, Pulau Pinang dan Selangor.
"Siasatan awal PDRM terhadap kesemua suspek turut mendapati bahawa wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan pimpinan tertinggi PDRM.
"Selain itu, terdapat kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi kelapan-lapan suspek seperti penganggur, suri rumah dan golongan profesional terpelajar," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua mereka ditahan selama 28 hari mengikut mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ditanya sama ada kesemua suspek mempunyai talian persaudaraan, Saifuddin Nasution berkata persamaan kesemua suspek itu ialah mereka memegang ideologi yang sama.
"Ia satu idealisme, satu pegangan dan kepercayaan dia bertolak dari satu keyakinan bahawa kepimpinan negara ini tidak berteras kepada sistem khalifah misalnya.
"... apabila keadaan itu tidak wujud maka wajarkan tindakan untuk memerangi pemerintah, itu antara sebahagian tanda pegangan kumpulan ini," katanya.
Saifuddin Nasution berkata elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan, ketika ini dikesan menyalahgunakan perkembangan teknologi moden serta menjadikan media sosial sebagai salah satu medium menyebarkan fahaman yang membahayakan.
"Kerajaan Malaysia bertegas bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati buat elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di negara ini.
"Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling berat ke atas golongan ini," katanya.
Saifuddin Nasution berkata kerajaan memberi jaminan bahawa masyarakat umum tidak perlu berasa gusar terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia.
"Hal ini didorong oleh kecekapan dan ketangkasan PDRM menangkis ancaman ekstremisme, radikalisme dan keganasan pada peringkat awal, yang menjadi manifestasi kesiapsiagaan dan kompetensi pasukan dalam mendepani sebarang ancaman pada setiap masa," katanya.
-- BERNAMA