Bekas penolong jurulatih boling dipenjara enam tahun lakukan amang seksual

Bernama
Mei 16, 2024 16:07 MYT
Mat Salleh bersalah melakukan amang seksual ke atas seorang remaja lelaki yang ketika itu berumur 14 tahun satu bulan di sebuah taman perumahan di Marang pada Mac 2018. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang bekas penolong jurulatih boling dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang atlet Sukan Malaysia (Sukma), enam tahun lalu.
Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh Mat Salleh Jalani, 61, didapati bersalah di penghujung perbicaraan pada hari ini.
Mengikut pertuduhan dia didakwa telah melakukan amang seksual ke atas seorang remaja lelaki yang ketika itu berumur 14 tahun satu bulan di sebuah taman perumahan di Marang pada Mac 2018.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.
Hakim memerintahkan hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh sabitan iaitu pada hari ini dan tertuduh perlu berada dalam pengawasan pihak polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Sementara itu, dalam kamar mahkamah sama, Nooriah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan satu sebatan terhadap seorang penganggur kerana didapati bersalah atas dua tuduhan iaitu merompak dan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan, dua tahun lepas.
Tertuduh Muhammad Zairuzi Zahri, 31, dikenakan hukuman penjara tujuh tahun ke atas kesalahan melakukan rompakan manakala penjara 24 bulan dan satu sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa telah merompak harta milik mangsa yang kini berumur 19 tahun, iaitu sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM6 pada September 2022 di sebuah kampung di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama yang ketika itu berusia 17 tahun tujuh bulan pada masa dan lokasi yang sama, di bawah Seksyen 14(a) AKKSTKK.
Nooriah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh lelaki itu ditangkap pada 27 Oktober 2022 dan dia juga dikehendaki berada dalam pengawasan pihak polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Pendakwaan juga dikendalikan oleh Nur Nabihah Hanin manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.
-- BERNAMA
#bekas penolong jurulatih boling #amang seksual #atlet SUKMA #Mat Salleh Jalani
;