Bekas penjawat awam ditahan kes tipu tanah rizab Melayu

Bernama
April 29, 2024 23:05 MYT
Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan (Akta 574). - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas penjawat awam kerana disyaki menipu sebuah agensi kerajaan negeri sehingga menyebabkan pemecahan lot Tanah Rizab Melayu melibatkan kawasan seluas kira-kira 649.2 hektar.
Sumber SPRM memaklumkan suspek lelaki berusia sekitar 60-an itu juga disyaki menipu dengan menyatakan tanah tersebut bukan Tanah Rizab Melayu.
Tanpa menyebut bila dan di mana suspek ditahan, sumber itu berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut pada 2012 sewaktu masih lagi merupakan seorang penjawat awam.
"Difahamkan keseluruhan tanah berkenaan telah dipecahkan dan dijual kepada bukan Melayu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Menurutnya, suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak esok.
-- BERNAMA
#SPRM #penipuan #tanah rizab Melayu #bekas penjawat awam
;