Bekas pengurus kedai serbaneka 24 jam didakwa 40 tuduhan pecah amanah

Astro Awani
Disember 6, 2018 19:23 MYT
Wan Fatihah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 40 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM68,463.35 pada Mei dan Julai tahun lepas. --fotoBERNAMA
Seorang bekas pengurus kedai serbaneka 24 jam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 40 pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM68,463.35 tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Wan Fatihah Nadzrin, 25 tahun, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indera Nehru.
Dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan menggunakan kod pin dari mesin MOLPay untuk pembelian barangan peribadi secara atas talian tanpa pengetahuan majikannya.
Tertuduh yang bekerja sebagai pengurus cawangan kedai 7Eleven Persiaran Kuala Kangsar di sini, melakukan perbuatan itu di premis berkenaan pada 26 Mei, 14 Julai, 19 Julai dan 21 Julai 2017.
Wan Fatihah didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan serta dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Zaim Zhafri Azhar.
Terdahulu, Muhammad Fauzi memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM4,000 bagi setiap fail pertuduhan, dengan jumlah keseluruhan RM56,000.
Bagaimanapun, dalam rayuannya, Zaim Zhafri meminta jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh perlu menyara ibunya selain suaminya yang sedang dalam proses mencari pekerjaan selepas berhenti bekerja sebagai pemandu lori.
Indera Nehru kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#Ipoh #jenayah #Kedai Serbaneka #mahkamah #Mahkamah Sesyen #mesin MOLPay #pecah amanah #pengurus #Wan Fatihah Nadzrin
;