Bekas pengurus kanan GLC ditahan terima suapan RM170,000

Eleanor Michelle Patrick
Januari 26, 2022 17:51 MYT
Suspek lelaki berusia 51 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu siasatan kes suapan dianggarkan bernilai RM170,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 51 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
"Difahamkan, suspek dipercayai telah menerima rasuah dalam bentuk wang tunai dan pengubahsuaian rumah miliknya yang dianggarkan bernilai RM170,000 daripada kontraktor.
"Ia sebagai balasan untuk melancarkan segala tuntutan bayaran bagi kerja yang telah dilakukan oleh kontraktor tersebut," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Tambahnya lagi, suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa terdekat.
#SPRM #Sabah #GLC #ubah suai rumah
;