Bekas pengurus didakwa pecah amanah
Noraniza Kamsani
Februari 9, 2018 16:58 MYT
Februari 9, 2018 16:58 MYT
Seorang bekas pengurus operasi cawangan pos Ar-Rahnu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas 28 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM440,409.27 tahun lalu.
Tertuduh Mohd Abdul Malik Awang, 30 tahun, dari Taman Sempalit Permai, Mentakab, membuat pengakuan berkenaan ke atas semua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Menurut kertas pertuduhan, Mohd Abdul Malik yang diamanahkan menyimpan barang gadaian pelanggan didakwa melakukan pecah amanah iaitu secara curang menggunakan barang gadaian pelanggan demi kepentingan peribadi.
Kesalahan berkenaan dilakukan tertuduh dari Julai hingga Disember tahun lalu di Ar Rahnu Cawangan Mentakab di sini.
Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan sebatan.
Kunasundary kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dikenakan ke atas tertuduh bagi setiap pertuduhan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri ke balai polis terdekat setiap bulan.
Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 7 Mac depan untuk penyerahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Salwa Asmary Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam Wong Peng Shen.
#Ar-Rahnu
#barang gadaian
#curang
#kepentingan peribadi
#Mahkamah Sesyen
#mentakab
#pecah amanah
#pengurus operasi