Bekas pengurus besar Bernama meninggal dunia
Bernama
Mei 6, 2019 08:54 MYT
Mei 6, 2019 08:54 MYT
Bekas pengurus besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Syed Jamil Syed Jaafar meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) awal pagi ini.
Isteri Allahyarham, Datin Haryani Abdul Jamil ketika dihubungi Bernama berkata, Syed Jamil, 68, meninggal dunia pukul 4 pagi.
"Jenazah telah dibawa ke rumah ibu saya di Sentul. Jenazah akan dibawa ke Madrasah Tarbiyah, Gombak untuk dimandi dan disembahyangkan," katanya.
Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Gombak.
Syed Jamil, mula berkhidmat sebagai wartawan kadet di Bernama pada 16 Dis 1969 dan menjadi Ketua Pengarang pada 1995 seterusnya dilantik sebagai Pengurus Besar mulai 23 Okt 2000 sebelum bersara pada 2007.
Syed Jamil juga pernah dilantik sebagai penasihat Bernama Systems And Solutions Advisor Sdn Bhd (Bessar), anak syarikat agensi berita nasional itu yang berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat. -- Bernama