Bekas penghulu maut, luncur udara terjunam ke dalam laut
Sinar Harian
Jun 23, 2023 06:15 MYT
Jun 23, 2023 06:15 MYT
KOTA BHARU: Bekas Penghulu Mukim Seribong, di sini dipercayai lemas apabila luncur udara (paragliding) yang dinaiki bersama rakan baiknya mengalami kerosakan enjin sebelum terjunam ke dalam laut di Pantai Irama, Bachok pada petang Jumaat.
Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, mangsa, Mustaffa Isa, 62, maut di lokasi manakala sahabatnya yang berusia 77 tahun mengalami kecederaan ringan.
Menantu mangsa, Rozaidi Ismail, 48, berkata, bapa mentuanya pernah beberapa kali melakukan aktiviti tersebut sebelum ini.
"Saya sendiri terkejut apabila mendengar perkhabaran itu petang tadi dan terus bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaannya.
"Jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seribong secepat mungkin," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Bachok, Leftenan (PA) Mohd Khairi Mat Hussin ketika dihubungi memberitahu, kedua-dua warga emas itu dipercayai rakan sekampung.
Ujarnya, mereka dipercayai terjatuh dan lemas dalam jarak kira-kira 120 meter dari menara APM di pantai berkenaan.
Beliau memberitahu, sebelum kejadian, anggota yang berada di menara, terlihat alatan luncur yang dinaiki mereka seperti mengalami masalah sebelum keduanya jatuh ke dalam laut.
"Anggota kami seramai enam orang terus bergegas dan sempat menyelamatkan salah seorang mangsa.
"Bagaimanapun Mustaffa yang merupakan penumpang tenggelam dan dijumpai dalam kedalaman kira-kira tiga meter," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat berkaitan kejadian terbabit. - Sinar Harian