Bekas pengetua didakwa lakukan amang seksual, rogol pelajar

Astro Awani
Januari 17, 2023 09:28 MYT
Seorang bekas pengetua mengaku tidak bersalah atas 13 pertuduhan berkomunikasi secara seksual, melakukan amang seksual fizikal dan merogol pelajarnya. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pengetua mengaku tidak bersalah atas 13 pertuduhan berkomunikasi secara seksual, melakukan amang seksual fizikal dan merogol pelajarnya.
Tertuduh, Rosli Abd Rahman, 58 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Nooriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa berkomunkasi secara seksual dengan mangsa yang berusia 16 tahun lapan bulan ketika kejadian.
Selain itu tertuduh turut berdepan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama.
Tertuduh didakwa melalukan kesalahan itu di sekitar Kuala Terengganu dan Marang antara November 2020 hingga November 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.
Tertuduh turut didakwa mengikut dua pertuduhan mengikut Seksyen 11 (a), satu pertuduhan mengikut Seksyen 14 (c) dan satu pertuduhan Seksyen 14 (d) AKSTKK 2017.
Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara antara tiga tahun hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#bekas pengetua #rogol pelajar #amang seksual #Rosli Abd Rahman