Bekas Pengerusi PKM Abdullah CD meninggal dunia pada usia 100 tahun
Bernama
Januari 13, 2024 23:50 MYT
Januari 13, 2024 23:50 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Abdullah CD, atau nama sebenarnya Che Dat Anjang Abdullah, meninggal dunia pada usia 100 tahun di Thailand pagi tadi.
Berita kematian pengasas pasukan Rejimen Ke-10 Tentera Rakyat Malaya itu dikongsikan oleh menantunya, Indrajaya Abdullah menerusi hantaran di laman Facebook.
Beliau berkata Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada 9.29 pagi (waktu tempatan) di Kampung Perdamaian Sukhirin, Narathiwat.
"Bahawa Abdullah CD atau nama sebenar Cek Dat Anjang Abdullah, bekas Pengerusi PKM dan pengasas pasukan Rejimen Ke-10 Tentera Rakyat Malaya, telah kembali ke rahmatullah pada 9.29 pagi ini di Kampung Perdamaian Sukhirin, Wilayah Narathiwat dalam umur 100 tahun 3 bulan," katanya.
Abdullah, yang berasal dari Lambor Kanan, Parit di Perak, menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 pada 2 Okt lepas.
-- BERNAMA