Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan meninggal dunia

Bernama
Ogos 25, 2014 12:40 MYT
Rajagopalu, 63, meninggal dunia di Hospital Mawar di Seremban pada pukul 3.27 pagi.
Bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan Datuk T. Rajagopalu meninggal dunia hari ini akibat serangan jantung, kata anaknya Thinalan.
Rajagopalu, 63, meninggal dunia di Hospital Mawar di sini pada pukul 3.27 pagi.
"Bapa saya mengadu sesak nafas malam tadi dan kami kejarkannya ke Hospital Mawar, namun meninggal dunia pada pukul 3.27 pagi," katanya.
Mendiang meninggalkan isteri Datin V. Leelavathy, 61, dan tiga anak lelaki Thinalan, 36, Kamalan, 32, dan Dhineshwaran, 30.
Menurut Thinalan, mayat mendiang bapanya telah dibawa ke kediaman keluarga di 523, Taman Ujong, Jalan Jambu 2, di sini.
Katanya mayat mendiang akan dibawa ke Krematorium Jalan Tun Dr. Ismail di sini pada pukul 4 petang ini untuk upacara pembakaran pada pukul 4.30 petang.
Rajagopalu, seorang peguam ialah Ketua MIC Bahagian Rasah dan pengerusi Yayasan NAAM Negeri Sembilan.
Mendiang juga adalah bekas Setiausaha Agung MIC Kebangsaan, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram Padang dan Adun Port Dickson dan bekas anggota Exco kerajaan Negeri Sembilan.
Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi MIC Kebangsaan Datuk V.S. Mogan berkata kematian mendiang merupakan satu kehilangan besar bagi masyarakat India terutama di negeri ini.
"Mendiang banyak memberi sumbangan dalam membangun dan memajukan masyarakat India, baik dalam politik mahupun masyarakat," katanya.
Mogan yang juga Ketua MIC Bahagian Rembau berkata bangunan Wisma MIC di sini merupakan satu daripada usaha mendiang yang boleh dibanggakan.
Selain itu, katanya mendiang banyak membantu dan melahirkan pemimpin pelapis dalam kalangan masyarakat India di negeri ini dan satu daripadanya ialah dirinya sendiri.
"Saya pernah dilantik setiausaha MIC Negeri Sembilan selama sepuluh tahun di bawah pimpinan mendiang," katanya.
Adun Jeram Padang yang juga anggota Exco kerajaan negeri, L. Manickam pula berkata komitmen mendiang dengan kerja-kerja sosial bagi membangunkan dan memajukan masyarakat dan politik sukar ditandingi.
"Saya kagum dengan cara bekerja mendiang yang sentiasa memikirkan untuk membela nasib masyarakat India. Mendiang seorang tokoh yang sukar dicari ganti," katanya.
#ADUN #meninggal dunia #Negeri Sembilan #T. Rajagopalu
;