Bekas Pengerusi Angkasa Perlis dituduh palsu dokumen

Adie Sufian Zulkefli
Mac 19, 2021 08:49 MYT
Hakim membuat keputusan itu terhadap Ismail Hashim, selepas dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya. - Gambar/ Astro AWANI
KANGAR: Bekas Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) Perlis didenda RM15,000 di Mahkamah Sesyen Kangar, pada Jumaat, atas pertuduhan memalsukan invois program memperkasakan jati diri bernilai RM90,000 pada 2018.
Hakim Datuk Ibrahim Osman, membuat keputusan itu terhadap Ismail Hashim, 70, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Ismail didakwa memalsukan beberapa dokumen tuntutan yang tidak wujud butir pembekalan pada 8 Ogos 2018 berkaitan Program Memperkasakan Jati Diri Kepimpinan Gerakan Koperasi di tiga kawasan Parlimen di negeri ini.
Tertuduh yang juga pesara syarikat swasta itu juga didakwa telah memberikan tiga invois pembayaran sebuah syarikat masing-masing bernilai RM30,000 yang dipercayai merupakan invois palsu.
Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Angkasa di Petaling Jaya, Selangor.
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Salizawaty Abd Samad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu dan Yusfarizal Yusof.
#bekas Pengerusi #Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd #Angkasa #Perlis #palsu invois #program perkasa jati diri #Mahkamah Sesyen #Kangar