Bekas pengawal keselamatan dipenjara 13 tahun sebabkan kematian tukang masak

Bernama
Julai 31, 2024 10:00 MYT
Ong Lai Seng dibawa ke Mahkamah Tinggi George Town hari ini. - Gambar/ Sinar Harian
GEORGE TOWN: Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 13 tahun di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menyebabkan kematian seorang tukang masak empat tahun lepas.
Hakim Datuk Quay Chew Soon memerintahkan Ong Lai Seng, 69, yang juga bekas pengawal keselamatan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 5 Dis 2020.
Ketika membaca keputusannya, hakim berkata dalam menentukan hukuman yang wajar dikenakan ke atas tertuduh mahkamah mengambil kira faktor-faktor mitigasi, antaranya faktor persendirian warga emas itu dan kepentingan awam.
"Memandangkan tertuduh kini berumur 69 tahun, maka dia dikecualikan daripada hukuman sebat di bawah Seksyen 289(c) Kanun Prosedur Jenayah," katanya.
Pada 11 Disember 2020, Ong yang ketika itu berusia 65 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh seorang tukang masak, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh pada masa itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan asal Ong didakwa menyebabkan kematian Chua Kok Seong, 42, di sebuah pondok pengawal, di Persiaran Paya Terubong di sini pada pukul 8.50 malam 5 Disember 2020.
Hari ini Ong mengaku bersalah atas tuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, manakala tertuduh diwakili peguam Helmi Hassan.
Terdahulu ketika prosiding, Helmi memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara yang minimum terhadap Ong memandangkan dia telah mengaku bersalah, sekali gus menjimatkan masa serta kos mahkamah.
''Tertuduh telah insaf, menyesal, memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa, dan kami memohon agar mahkamah mengurangkan tempoh penjara bagi membolehkan tertuduh menghadapi hari mendatang," katanya.
Bagaimanapun Lee memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal kepada tertuduh kerana sebagai pengawal keselamatan dia sepatutnya menjaga keselamatan dan bukannya melakukan pembunuhan.
Pada 6 Dis 2020, media melaporkan seorang tukang masak lelaki maut dipercayai ditikam kira-kira 10 kali oleh rakannya yang merupakan pengawal keselamatan dalam kejadian di pondok pengawal sebuah pangsapuri di Paya Terubong pada 5 Dis 2020.
-- BERNAMA
#kes bunuh #tukang masak #pengawal keselamatan #hukuman penjara