Bekas Pengarah SRC tandatangan cek kosong
Bernama
Januari 22, 2025 20:24 MYT
Januari 22, 2025 20:24 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau menandatangani empat keping cek kosong tetapi tidak mengetahui ia adalah untuk UMNO dan UMNO Selangor.
Datuk Suboh Md Yassin, 74, berkata beliau menandatangani cek kosong tersebut selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC Nik Faisal Ariff Kamil memaklumkan kepadanya bahawa itu adalah arahan daripada 'pihak atas' iaitu DSN (Datuk Seri Najib).
"Apabila saya menandatangani cek tersebut, tiada penerima dan nilai cek tersebut tidak diisi. Saya tidak tahu ia sepatutnya untuk defendan (UMNO dan UMNO Selangor).
"Cek yang diberikan kepada saya untuk ditandatangani adalah kosong dan telah ditandatangani terlebih dahulu oleh Nik Faisal sendiri. Selepas saya menandatangani cek tersebut, Nik Faisal mengambilnya dan saya tidak pernah melihatnya lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya pada perbicaraan saman SRC dan dua anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd terhadap UMNO dan UMNO Selangor pada Mei 2021.
Apabila peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili SRC, merujuk kepada dokumen berkaitan empat cek tersebut, Suboh, sebagai saksi kedua SRC, mengesahkan cek-cek itu dikeluarkan oleh Jendela Pinggiran kepada UMNO berjumlah RM16 juta dan kepada UMNO Selangor sebanyak RM3.5 juta.
Apabila ditanya oleh Razlan Hadri, siapa yang menandatangani cek-cek tersebut, saksi menjawab: "Nik Faisal dan saya."
Suboh seterusnya berkata beliau mempercayai Nik Faisal kerana beliau adalah CEO dan mewakili dirinya sebagai individu yang sangat rapat dengan Najib, justeru beliau tidak mempunyai sebab untuk meragui Nik Faisal.
"Malah, seluruh lembaga pengarah menerima apa sahaja apabila Nik Faisal memaklumkan kepada kami bahawa arahan tertentu itu datang daripada Datuk Seri Najib.
"Dalam situasi itu, kami bertindak mengikut apa yang diarahkan. Ini berlaku sepanjang tempoh saya berkhidmat di SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd," katanya.
Suboh juga merupakan pengarah untuk Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran pada masa tersebut.
Suboh seterusnya berkata sebarang komunikasi atau arahan daripada Najib kepada lembaga pengarah akan disampaikan melalui Nik Faisal, dan Nik Faisal hanya akan mendekatinya jika beliau memerlukannya untuk menandatangani sebarang dokumen.
"Pertanyaan saya sering diketepikan dengan kenyataan yang mencadangkan bahawa transaksi asas mesti dilakukan atas kehendak DSN - contohnya 'boss nak lah' atau 'diminta pihak atas'.
"Kebanyakan masa, dokumen yang perlu saya tandatangani sudah pun ditandatangani oleh Nik Faisal. Saya hanya dikhendaki untuk menandatangani balas mengikut permintaannya," katanya.
Dalam saman terhadap UMNO, plaintif menuntut RM16 juta, yang mereka dakwa telah dipindahkan secara salah kepada parti politik itu, dengan menegaskan bahawa UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana itu.
Saman kedua melibatkan tuntutan RM3.5 juta terhadap Badan Perhubungan UMNO Selangor (UMNO Selangor), yang juga didakwa telah menerima dana tersebut.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.
-- BERNAMA