Bekas pengarah mengaku tak bersalah empat pertuduhan salah guna harta syarikat

Bernama
Julai 15, 2024 13:00 MYT
Kamaruzzaman mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan salah guna wang berjumlah RM96,780 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah hari ini. -Bernama
BUTTERWORTH: Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan salah guna harta syarikat berjumlah RM96,780 kira-kira 10 tahun lepas.
Kamaruzzaman Kamaludeen, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Kamaruzzaman yang ketika kejadian bertugas sebagai Pengarah Syarikat Northern Petrochem Sdn Bhd dengan curangnya menyalah guna harta membabitkan wang RM5,600, RM920, RM8,800 dan RM81,460 milik Syarikat Natureceuticals Sdn Bhd.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di empat lokasi berlainan iaitu di RHB Bank Bhd Taman Inderawasih, Perai; AmBank (M) Bhd, Pusat Bandar Seberang Jaya; Malayan Bank Bhd Pusat Perniagaan Rozhan, Alma dan Public Bank Bhd, Jalan Jelutong, antara 5 Dis 2014 dan 27 Mei 2015.
Kes dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam hingga lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rasyidah Murni Adzmi dan Natrah Fareha Rahmat, manakala tertuduh diwakili peguam Luqman Mazlan dan Irzan Iswatt.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#Bekas pengarah syarikat #Kamaruzzaman Kamaludeen #salah guna harta syarikat #Northern Petrochem #Natureceuticals