Bekas penasihat peribadi Che Rozmey dipenjara lima tahun
Bernama
September 22, 2019 13:48 MYT
September 22, 2019 13:48 MYT
Bekas penasihat peribadi kepada usahawan terkenal Datuk Dr Che Rozmey Che Din, dihukum penjara lima tahun dan denda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini setelah didapati bersalah terhadap tiga tuduhan pecah amanah lima tahun lepas.
Hakim Azman Abu Hassan memerintahkan tertuduh, Abdullah Sani Ismail, 64, menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan jika gagal membayar denda, dia juga berhadapan hukuman penjara tambahan selama dua tahun lagi.
Mengikut pertuduhan, Abdullah Sani selaku penasihat peribadi dan kewangan di syarikat Herba Prima Marketing didakwa melakukan pecah amanah dengan mengambil wang sewaan bangunan beralamat di No. 22, Jalan Bayu Mutiara 1, Taman Bayu Mutiara, Bukit Mertajam, Pulau Pinang milik Che Rozmey, masing-masing berjumlah RM97,000, RM88,000 dan RM61,600.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di syarikat Herba Prima Marketing di Lot 70, Bandar Darulaman Jaya, Jitra dekat sini, antara September 2014 dan 8 Julai 2016.
Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Abdullah Sani dikecualikan daripada dikenakan hukuman sebat atas faktor usia.
Peguam tertuduh, Badrol Hisham Abdullah memohon supaya hukuman ke atas Abdullah Sani ditangguh sehingga rayuan difailkan dan permohonan itu dibenarkan oleh hakim, namun hanya untuk hukuman penjara, manakala denda perlu dibayar dan tidak boleh ditangguh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Md Ruslan.
-- BERNAMA
#Abdullah Sani Ismail
#Datuk Dr Che Rozmey Che Din
#Herba Prima Marketing
#mahkamah
#pecah amanah
#penjara
#usahawan
#usahawan terkenal