Bekas penagih OKU nekad berubah, kini aktif bidang pertanian

Bernama
April 16, 2023 12:00 MYT
Ali mula mengambil pil kuda sewaktu berusia 24 tahun yang pada ketika itu dia bekerja sebagai buruh binaan. - Gambar/ Bernama
PASIR MAS: Akibat tersalah memilih kawan semenjak 20 tahun lalu, perjalanan kehidupan Ali (bukan nama sebenar) berubah sekelip mata apabila terjerumus dengan kegiatan penyalahgunaan najis dadah.
Ali, 44, yang juga Orang Kurang Upaya (Penglihatan) berasal dari Mukim Kubang Sepat, di sini, mula mengambil bahan terlarang (pil kuda) sewaktu berusia 24 tahun yang pada ketika itu dia bekerja sebagai buruh binaan.
"Saya ambil pil kuda ini sebab pengaruh rakan-rakan dan saya guna duit saya sendiri untuk beli pil kuda yang dijual dengan harga RM10.
"Bayangkan betapa banyak duit saya buang begitu sahaja semata-mata makan benda terlarang itu yang langsung tidak beri faedah kepada diri saya malah ia sebenarnya merosakkan kehidupan saya dan memalukan keluarga," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Bercerita lanjut, Ali berkata selepas ditahan polis pada tahun 2020 di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya yang dikehendaki menjalani program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) tidak kurang dari dua tahun hingga tiga tahun, dia mula mencari dirinya kembali dan terdetik rasa keinsafan untuk berubah.
"Selepas keluar dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kota Bharu, saya mula mengambil alih tanaman yang pernah diusahakan ibu di tepi sungai Kelantan seluas 1.21 hektar dengan menanam buah dan sayuran iaitu tembikai, jagung, timun serta terung.
"Alhamdulillah, setakat ini permintaan orang ramai sangat memberangsangkan dan saya mampu meraih pendapatan bersih sebanyak RM7,000 semusim," katanya yang turut dibantu oleh dua pekerja.
Ali berkata hasil titik peluhnya itu turut mendapat perhatian daripada agensi kerajaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) untuk membantu dia mengusahakan tanaman terbabit.
"Saya berasa sangat bangga dan berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana tidak meminggirkan bekas penagih dadah seperti saya, malah banyak memberi bantuan dan pertolongan.
"Oleh itu, saya seru kepada semua bekas penagih dadah supaya berubahlah demi masa depan yang lebih cerah, cari peluang yang diberikan kerajaan dan jangan sesekali merasakan diri kita ini tidak diterima masyarakat. Percayalah najis dadah itu banyak kesan buruk," katanya.
-- BERNAMA
#penagih dadah #insaf #bidang pertanian #Kelantan
;