Bekas penagih dadah yang pulih boleh ganti pekerja asing - AADK
Rahimah Abdullah
Februari 18, 2016 08:58 MYT
Februari 18, 2016 08:58 MYT
Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) berharap majikan mengambil bekas penagih dadah yang telah menjalani pemulihan untuk bekerja dalam usaha membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Timbalan Ketua Pengarah Operasinya, Izhar Abu Talib yakin pelatih pusat pemulihan itu akan dapat melakukan sesuatu pekerjaan dengan lebih baik berbanding pekerja asing dalam pelbagai bidang terutama sektor Dirty, Difficult and Dangerous (3D).
"Saya mengalu-alukan mana-mana majikan untuk mengambil pelatih-pelatih ini bekerja kerana saya yakin mereka mampu melakukan pekerjaan yang lebih baik berbanding pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini," katanya kepada Astro AWANI selepas sidang media mengenai Jelajah AADK seluruh negara di bangunan Kementerian Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu.
Bagaimanapun katanya, AADK akan terus melakukan pemantauan ke atas bekas pelatih berkenaan selepas mereka keluar daripada pusat pemulihan dadah dan memperoleh pekerjaan.
Tegasnya, stigma kalangan masyarakat menyebabkan kebanyakan mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan dan meneruskan kehidupan seperti orang lain.
"Stigma masyarakat terhadap bekas pelatih kita ini yang menjadi cabaran besar kepada kita. Namun, saya yakin mereka boleh buat kerja terutama dari segi fizikal mereka," tambahnya.
Sehingga kini katanya, kebanyakan bekas penagih yang telah menjalani pemulihan AADK sudah bersiap sedia untuk diambil bekerja oleh majikan.
"Institut Kemahiran dan Latihan AADK di Sepang bukan sahaja memberikan latihan dan kemahiran daripada sektor 3D, malah bidang lain termasuk masakan, jahitan dan lain-lain," tambahnya.