Bekas pemimpin STAR mengaku tidak bersalah cabul peserta Unduk Ngadau
Junaidi Ladjana
Jun 10, 2021 11:25 MYT
Jun 10, 2021 11:25 MYT
KOTA KINABALU: Bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Phillip Among mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu di sini hari ini atas lima pertuduhan termasuk mencabul dua wanita yang mana salah seorang daripadanya adalah peserta Unduk Ngadau Pesta Kaamatan pada April dan bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 52 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.
Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang meperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.
Pertuduhan pertama, Philip dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita pada 17 April lalu, kira-kira jam 11 malam di ruang tamu Capsule Inn, Asia City, di Kota Kinabalu.
Manakala empat lagi pertuduhan pula membabitkan kesalahan mencabul kehormatan iaitu terhadap seorang lagi wanita yang juga peserta Unduk Ngadau di empat lokasi berasingan pada 19 Mei lalu.
Mahkamah membenarkan Philip dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan bersama dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh pengurusan kes pada 14, 21 dan 22 Julai depan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Mohd Ali memohon kepada mahkamah supaya mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan berikutan kes terbabit mendapat liputan meluas.
Bagaimanapun, dua peguam mewakili tertuduh Marcel Jude dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah memohon mahkamah supaya mengurangkan jumlah ikat jamin dengan mengambil kira tertuduh memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan dilakukan.
Selain itu, Jude turut menyatakan sumbangan Philip kepada masyarakat sebelum ini perlu diambil kira selain pendapatannya sebagai seorang ahli perniagaan terjejas akibat pandemik COVID-19.
Philip ditahan polis pada 3 Jun lalu bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Siasatan dibuat selepas salah seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri mendakwa diraba ketika menaiki kenderaan milik tertuduh.
#unduk ngadau
#Cabul Unduk Ngadau
#mencabul
#bekas pemimpin STAR
#Pesta Kaamatan
#Kota Kinabalu
#Sabah