Bekas pemilik syarikat dipenjara enam bulan sembunyi lebih RM1.3 juta wang milik wanita
Bernama
Julai 3, 2024 23:45 MYT
Julai 3, 2024 23:45 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemilik syarikat pembinaan dan pengubahsuaian dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku mengalih atau menyembunyikan wang lebih RM1.3 juta milik seorang wanita berhubung tawaran kerja yang diiklankan di Facebook.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu sebuah premis di Sentul pada 19 April lepas mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Azwan dan bapa mentuanya, Muhamad Dzulhasymi Ishak, 48, masing-masing turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku melakukan kesalahan sama melibatkan wang berjumlah RM146,090 milik Saw Teong Soon, 48, pada 11.18 pagi 14 Jan lepas.
Hamidah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara Azwan berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 28 Jun lepas. Muhamad Dzulhasymi juga diarah menjalani hukuman penjara bermula tarikh sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Azrul Darus menjatuhi hukuman penjara enam bulan ke atas Muhamad Dzulhasymi yang mengaku bersalah atas kesalahan serupa membabitkan wang RM757,850 milik Helen pada 24 April lepas di sebuah premis di Sentul di sini.
Azrul memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman.
Berdasarkan fakta kes, mangsa telah melayari Facebook serta berminat dengan tawaran kerja di platform 'pulseplacex' dan membuka akaun menerusi laman sesawang itu.
Tugasan mangsa hanya perlu membuat tempahan hotel menerusi laman sesawang 'pulseplacex' dan perlu membuat tambah nilai terlebih dahulu jika wang di dalam akaun itu tidak mencukupi.
Mangsa telah membuat tugasan kali pertama serta memperoleh semula pulangan wang dan mangsa yang percaya kerja itu adalah benar terus membuat beberapa transaksi pembayaran wang ke akaun bank milik tertuduh antara Januari dan April lepas.
Mangsa kemudian dihubungi pihak 'pulseplacex' dan memberitahu mangsa wang itu tidak dipulangkan kerana pihak berkuasa sedang membuat siasatan terhadap platform berkenaan serta meminta mangsa membayar wang lebih RM2 juta bagi mengelakkan mereka ditangkap.
Kedua-dua tertuduh berjaya ditangkap dan siasatan mendapati mereka gagal memberi penjelasan bagaimana transaksi kemasukan wang ke akaun bank milik syarikat Azwan.
-- BERNAMA