Bekas pembantu ceti haram didakwa bakar pagar rumah peminjam wang tidak berlesen
Bernama
Februari 29, 2024 19:15 MYT
Februari 29, 2024 19:15 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pembantu ceti haram dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan membakar pagar rumah seorang peminjam wang tidak berlesen, awal bulan ini.
Mohd Alif Shafiq Sarif, 23, yang didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan khianat api dengan niat untuk menyebabkan kerosakan kepada harta milik seorang lelaki di sebuah rumah di Ulu Klang di sini pada 3.10 pagi 5 Feb lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan kerana perlu menanggung seorang anak dan kakak yang sakit.
"Saya baru berhenti kerja, buat masa ini tiada orang nak jamin," kata tertuduh.
Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali serta menetapkan 4 April ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA