Bekas pemangku CEO GLC didakwa lulus projek untuk adik kandung
Dewi Nur Harasha Alias
April 19, 2023 14:35 MYT
April 19, 2023 14:35 MYT
BUTTERWORTH: Seorang pengurus teknologi maklumat (IT) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan jawatannya sebagai pemangku Ketua Eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meluluskan projek untuk adik kandungnya tujuh tahun lalu.
Tertuduh Aziedy Abdul Talib, 42, didakwa mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adiknya untuk kerja-kerja pembekalan peralatan kamera litar tertutup (CCTV) dan pemasangan interkom untuk sebuah projek perumahan.
Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, Aziedy yang ketika itu sebagai pegawai badan awam iaitu Ketua Pegawai Operasi yang memangku tugas CEO sebuah GLC telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat ATR Resourcers Enterprise milik adiknya yang berusia 35 tahun sebagai pembekal bagi kerja-kerja pembekalan CCTV untuk sebuah projek perumahan dalam daerah Barat Daya melalui ‘purchase order’ bernilai RM223,586.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Tingkat 14 Menara UMNO, Jalan Macalister dalam daerah Timur Laut pada 4 Februari 2016.
Sementara bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menyalahgunakan jawatannya dengan mendapatkan suapan apabila sekali lagi meluluskan syarikat adik kandungnya untuk kerja-kerja pembekalan pemasangan interkom bagi projek perumahan sama melalui ‘purchase order’ bernilai RM191,811.
Semua kesalahan berkenaan dilakukan di lokasi yang sama pada 14 Jun 2016.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Aziedy didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam Arafas Abdul Razak.
Semasa prosiding kes, Noor Azura memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Namun peguam tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan kerana anak guamnya perlu menyara isteri, dua anak, ibu bapanya yang sudah uzur dan seorang adik yang tinggal bersamanya.
Dimaklumkan tertuduh baharu sahaja bekerja sebagai Pengurus IT di sebuah syarikat dengan pendapatan RM7,500 sebulan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa, melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali dan tidak menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 30 Mei depan.