Bekas pemandu pelancong didakwa bunuh warga emas

Raffi Bachik
Januari 30, 2018 15:59 MYT
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dan menyebabkan kematian ke atas seorang warga emas, Kesom Maamin, 79 tahun. -Astro AWANI/Raffi Bachik
Seorang bekas pemandu bot pelancong ‘Melaka River Cruise’ berdepan hukuman gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Melaka, hari ini, atas pertuduhan membunuh warga emas tahun lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohd Farid Shukor, 31 tahun sejurus pertuduhan dibacakan di dalam kamar, di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Lee Kim Wiat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dan menyebabkan kematian ke atas seorang warga emas, Kesom Ma’amin, 79 tahun.
Kejadian itu dilakukan tertuduh di Taman Sri Bayu, Alor Gajah antara jam 1.15 pagi hingga 3 pagi pada 25 Mac 2017.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Effizah Ernie Idris dan memohon tarikah untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 1 Mac depan.
Terdahulu, media melaporkan seorang warga emas yang disyaki mangsa samun ditemui mati dalam keadaan tangan terikat dan terduduk di ruang tamu rumahnya.
Mayat Kesom Ma’amin ditemui sekitar 8.30 pagi oleh cucu tirinya yang datang ke rumah itu untuk menghantar makanan kepada mangsa.
#Alor Gajah #bunuh #mahkamah #mangsa #mati #mayat #pelancong #river cruise melaka #samun #warga emas
;