Bekas pemandu lori didakwa miliki diesel tanpa lesen sah
Sinar Harian
Jun 26, 2024 16:15 MYT
Jun 26, 2024 16:15 MYT
SEREMBAN: Bekas pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memiliki barangan kawalan berjadual iaitu 3,503 liter diesel tanpa lesen sah, tahun lalu.
Tertuduh, M Stanly, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim, Mazni Nawi selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah ada dalam kawalannya minyak diesel sebanyak 3,503 liter di dalam sebuah lori tangki dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara runcit minyak diesel tanpa suatu lesen yang sah.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 1.22 pagi di sebuah stesen minyak di Putra Nilai, Nilai, pada 28 September tahun lalu.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Janawatul Fieza Hamisan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan mengambil kira pendapatannya sebagai pengawal keselamatan sebanyak RM1,800 sebulan dan perlu menanggung empat anak serta isteri.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM4,000 dan sebutan semula pada 14 Ogos depan. - Sinar Harian