Bekas pemandu e-hailing miliki kanabis dipenjara 10 tahun dan 20 sebatan

Bernama
Jun 23, 2023 19:28 MYT
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Nazri didakwa memiliki dadah itu dengan berat bersih 654.1 gram dan 965.7 gram di dua lokasi di Taman Naga Emas, Brickfields di sini antara 5.05 petang dan 5.15 petang, 2 Julai 2021. -Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemandu e-hailing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana memiliki 1,619.8 gram dadah jenis kanabis, dua tahun lepas.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas Nazri Sahak, 48, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan dan memerintahkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 2 Julai 2021.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Nazri didakwa memiliki dadah itu dengan berat bersih 654.1 gram dan 965.7 gram di dua lokasi di Taman Naga Emas, Brickfields di sini antara 5.05 petang dan 5.15 petang, 2 Julai 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang diboleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad.
Di mahkamah sama, dua rakan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 541.6 gram, tiga tahun lepas.
Hakim Muhammad Jamil memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lee Kim Shing, 41, dan Tan Kia Wah, 40, pada akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, hakim itu berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah itu berada dalam jagaan dan kawalan kedua-dua tertuduh.
"Dalam kes ini, elemen niat bersama untuk mengedar dadah juga gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap tertuduh pertama dan kedua. Oleh itu, mereka dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri," katanya.
Mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah itu di sebuah rumah di Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 1 petang, 2 Dis 2020. Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin manakala peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Lee dan Tan diwakili peguam Mohd Taufik Md Tahir.
-- BERNAMA
#kanabis #Mahkamah Tinggi #hukuman penjara #Nazri Sahak
;