Bekas pemandu bas sekolah gagal semak semula hukuman liwat
Bernama
Mac 3, 2025 18:36 MYT
Mac 3, 2025 18:36 MYT
Mahkamah Rayuan menolak permohonan Kassim Tahir untuk menyemak semula hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan meliwat budak lelaki berusia 11 tahun pada 2016. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan seorang bekas pemandu bas sekolah untuk menyemak semula hukuman penjara lapan tahun yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan meliwat seorang budak lelaki berusia 11 tahun di dalam kenderaannya pada 2016.
Ringkasan AI
- Mahkamah Rayuan menolak permohonan Kassim Tahir untuk menyemak semula hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan meliwat budak lelaki berusia 11 tahun pada 2016.
- Panel hakim memutuskan tiada merit dalam permohonan semakan dan Kassim gagal menunjukkan kecuaian ketara oleh peguamnya sebelum ini.
- Mahkamah Rayuan sebelum ini telah mengurangkan hukuman penjara Kassim daripada 10 tahun kepada lapan tahun dan mengetepikan hukuman sebatan.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin memutuskan bahawa tiada merit dalam permohonan semakan oleh Kassim Tahir.
Ketika membacakan keputusan mahkamah, Hakim Ahmad Zaidi berkata Kassim gagal menunjukkan sebarang keadaan luar biasa yang membolehkan panel itu campur tangan dalam keputusan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Beliau turut menegaskan pemohon tidak dapat membuktikan sebarang kecuaian ketara oleh peguamnya sebelum ini, malah, sepanjang perbicaraan, peguam tersebut telah menjalankan tugas dan fungsinya sebagai peguam bela dengan berkesan.
Pada 20 Sept tahun lepas panel Mahkamah Rayuan sebelum ini yang dianggotai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail (kini bersara), Datuk Azman Abdullah dan Datuk S.M. Komathy Suppiah (kini bersara) telah mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkan Kassim atas kesalahan tersebut.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan telah mengurangkan hukuman penjara Kassim daripada 10 tahun kepada lapan tahun serta mengetepikan hukuman sebatan yang dijatuhkan ke atasnya.
Pada 16 Julai 2019, Mahkamah Sesyen mensabitkan Kassim atas tiga pertuduhan meliwat mangsa dan menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan dengan kesemua hukuman berjalan serentak.
Namun, pada 8 Sept 2020, Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen serta membebaskan dan melepaskan tertuduh, menyebabkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Kassim melakukan kesalahan tersebut di dalam bas di Ulu Tiram, Johor pada jam 8 malam antara April dan Mei 2016.
Dalam prosiding hari ini, peguam Kassim, G. Subramaniam Nair berhujah bahawa panel Mahkamah Rayuan sebelum ini gagal meneliti atau terlepas pandang kelemahan ketara peguam terdahulu Kassim dalam mengendalikan fakta dan aspek perundangan kes itu, sehingga menyebabkan perbicaraan yang tidak adil.
Beliau turut mendakwa terdapat 'konspirasi jenayah yang dirancang' untuk mengaitkan Kassim dengan pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari menegaskan dakwaan mengenai ketidakcekapan peguam bela tidak berasas kerana ia tidak dibangkitkan dalam prosiding di Mahkamah Tinggi mahupun di Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Beliau juga berhujah tiada keadaan luar biasa yang membolehkan permohonan semakan itu diterima.
-- BERNAMA