Bekas peguam OKU kudung kaki, tangan didakwa pecah amanah

Shuhada Abdul Kadir
Jun 12, 2020 16:02 MYT
Kehadiran tertuduh di mahkamah berkenaan mencuri tumpuan apabila diangkat di atas belakang anak lelakinya ketika mendaki tangga sebelum diletakkan di atas kerusi roda. Astro AWANI
Seorang bekas peguam berstatus orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian lebih RM350,000.
Tuah Jantan, 60, yang kudung kedua-dua belah kaki dan sebelah tangan, membuat pengakuan itu sebaik enam pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas di firma guaman Tetuan Tuah, Hilmy dan Hazudin dengan curang melakukan pecah amanah membabitkan wang bayaran urusan penjualan lesen IPTS, bayaran pendahuluan pembelian rumah dan wang pertaruhan projek perumahan berjumlah keseluruhan RM358,344.
Kesemua kesalahan itu dilakukan menerusi enam transaksi berasingan melalui akaun Bank CIMB milik firma guaman itu, pada Oktober 2005 hingga November 2007 di Taman Melaka Raya, Melaka.
Justeru, warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos memohon jaminan RM60,000 bagi kesemua pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan membabitkan empat pengadu berbeza.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan dia sudah lama tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan, selain perlu ke hospital dua kali sebulan bagi menerima rawatan.
Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 28 Julai ini bagi sebutan semula kes.
Terdahulu, kehadiran tertuduh di mahkamah berkenaan mencuri tumpuan apabila diangkat di atas belakang anak lelakinya ketika mendaki tangga sebelum diletakkan di atas kerusi roda.
#beli #Melaka #OKU #pecah amanah #peguam #peguam oku #rumah #transaksi
;